Diabetes Tambah Risiko Serangan Jantung

Penyakit kardiovaskular menjadi kebimbangan besar penghidap diabetes ­berikutan ia punca utama kematian dan kehilangan upaya apabila dua daripada tiga pesakit mening­gal dunia sama ada disebabkan sakit jantung atau strok.
Malah, penularan penyakit diabetes di Malaysia kini semakin membimbangkan sehingga menjejaskan seorang dalam kumpulan lima orang dewasa berumur 30 tahun ke atas dan anggaran itu menjadikan bilangan penghidap dewasa mencecah 3.6 juta orang.
Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari (CAD) dan kardiomiopati diabetes iaitu dua keadaan kardiovaskular yang dikaitkan de­ngan kemaraan diabetes.
Kini diabetes dengan sendiri dianggap faktor risiko paling ting­gi bagi penyakit jantung. Malah, diabetes juga risiko ting­gi yang setara dengan penyakit jantung koronari (CHD) apabila pesakit diabetes dikatakan mempunyai risiko menghidap penyakit berkenaan sebanyak 20 peratus.
Jika tidak dikawal dengan sewajarnya, diabetes boleh menjadi permulaan lebih banyak komplikasi yang akan berlaku. Kemungkinan pesakit diabetes mendapat penyakit jantung bukan saja dua kali ganda, malah mereka juga menghidap penyakit jantung pada usia lebih muda daripada orang yang tidak menghidap diabetes.
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya, Dr Lim Bee Chian berkata, CAD adalah komplikasi makrovaskular diabetes yang merujuk kepada penyempitan arteri dalam jantung disebabkan enapan lemak yang turut dinamakan plak.
“Kepecahan mengejut plak kolesterol adalah punca umum, terutama dalam kalangan penghidap diabetes yang juga mengalami dislipidemia, mengakibatkan sekatan arteri dan me­ngundang serangan jantung atau strok.
“Hiperglisemia (glukosa darah tinggi) dan rintangan insulin, dua mekanisme yang menentukan diabetes Jenis II dan memacu proses aterosklerosis iaitu pengecilan saluran arteri akibat pembentukan plak di bahagian dalam dinding arteri.
“Keadaan ini boleh merosak­kan bahagian badan, termasuk saluran darah, dan apabila ini berlaku bekalan darah berkura­ngan atau terputus, mengakibat­kan serangan jantung,” katanya ketika ditemui pada perbinca­ngan meja bulat sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia di pusat perubatan berkenaan, baru-baru ini.
Dr Lim berkata, walaupun teknologi dan strategi memboleh­kan diagnosis CHD pada pering­kat lebih awal dalam kalangan penghidap diabetes, hakikatnya mereka tetap mengalami kesakitan iskemik tumpul yang mening­kat dan selalunya mengakibatkan iskemia senyap atau infarksi miokardial senyap iaitu serangan jantung.
“Gejala jantung dalam kala­ngan pesakit diabetes selalu­nya terselindung, mengakibatkan terlepas atau terlewat diagnosis serangan jantung, sekali gus terlepas peluang untuk rawatan pemvaskularan semula dengan segera.
“Bagaimanapun, dalam ba­nyak kes, punca kegagalan jantung dalam kalangan penghidap diabetes mungkin tiada kaitan dengan trombosis iaitu pembentukan darah beku.
“Kardiomiopati diabetes adalah perubahan yang dikaitkan dengan diabetes dalam struktur dan fungsi otot jantung yang bukan berpunca secara langsung daripada sebarang penyakit kardiovaskular lain seperti CAD atau hipertensi iaitu darah tinggi,” katanya.
Kehadiran komorbiditi seperti sindrom metabolik iaitu kombinasi hipertensi, dislipidemia ­dan obes luar biasa, tabiat merokok dan ketiadaan aktiviti fizikal menguatkan lagi penularan diabetes.
Dalam kes kardiomiopati diabetes, perubahan struktur dan fungsi yang berlaku, termasuk hipertrofi ventrikular kiri, meningkatkan kemungkinan berlaku kecederaan iskemia dan kemungkinan secara keseluruhan mengalami kegagalan jantung. Oleh itu, pesakit diabetes mudah mengalami kegagalan jantung walaupun pada peringkat awal penyakit.
Dr Lim berkata, ketika ini kemajuan dalam rawatan perubatan dan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit diabetes membolehkan diagnosis CHD dalam kalangan penghidap diabetes dibuat pada kadar jauh lebih cepat.
Alat diagnostik yang lebih canggih dengan ketepatan lebih tinggi kini boleh didapati secara meluas untuk mengesan aterosklerosis dan gejala awal CHD pada peringkat permulaan. Ini bagi membolehkan intervensi awal, mengurangkan kadar penyakit dan kematian serta menambah baik kualiti hidup.
“Sebagai contoh, elektrokardiografi (ECG) rehat adalah alat yang biasa digunakan untuk mengesan infark miokardium iskemia (MIs) akut atau lama dan juga aritmia.
“Bagi menentukan tahap plak aterosklerosis, ujian fungsi seperti ECG, ekokardiografi dan imbasan radionuklida atau imbasan pengimejan resonans magnet (MRI) adalah alat berguna untuk mengesan sekatan besar hemodinamik yang ditakrifkan sebagai lebih 50 peratus penyempitan saluran darah yang mewajarkan pemvaskularan semula,” katanya.
Dr Lim berkata, pelancaran pengimbas koronari tomografi berkomputer berbilang hirisan (MSCT) dalam beberapa tahun kebelakangan ini banyak me­ngubah landskap pengesanan dan pengurusan CHD.
“Angiografi koronari MSCT adalah satu teknik bukan invasif yang membolehkan pengesanan awal CHD seperti stenosis atau penyempitan pada koronari. De­ngan resolusi ruang dan waktu lebih tinggi, MSCT membolehkan pengesanan plak secara lebih boleh dipercayai dan lesi sekatan ketara.
“Dengan kadar ketepatan pe­ngesanan terbukti 99 peratus, teknologi ini memberi peluang untuk intervensi awal dan memberi kesan terbaik dalam jangka panjang,” katanya.
Pada masa lalu, wujud kebimbangan terhadap risiko kanser yang dikaitkan dengan radiasi angiogram koronari pada ujian tomografi berkomputer (CT). Namun, kemajuan perubatan mengubah keadaan dan dengan pengimbas CT terbaru memboleh­kan angiogram koronari mengeluarkan radiasi yang sangat rendah.
Advertisements

Posted on December 21, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: