6 TIPS MENDAPAT ANAK YANG SOLEH dari Ustaz Iqbal Zain

Ilmu yang sangat berguna ini kami dapat daripada facebook Ustaz Iqbal Zain. Semoga perkongsian bersama ini memberi manfaat untuk semua.

Dalam melahirkan generasi perjuangan yang mencintai Allah, bukan semudah melafazkan akad nikah tatkala diijabkabul oleh tuan kadi. Dalam melahirkan zuriat perjuangan, ianya bermula dari sebelum si ayah dan si ibu diijabkabulkan.

Antara kaedah yang dilakukan oleh orang dizaman salafussoleh dalam melahirkan zuriat perjuangan yang bakal menyambung lidah Rasulullah SAW adalah seperti berikut :

 

1. Menjaga keturunan.

Firman Allah SWT :
“Jikalau ada penduduk kampung yang beriman dan bertaqwa, maka akan dibukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi” ( Al A’araf : 96 )

Anak keturunan zina amat payah dididik untuk menerajui sesuatu perjuangan. Sebab itu anak keturunan zina tidak ada yang menjadi Rasul, Nabi atau pun waliyullah. Malah anak zina juga tidak berhak diwalikan oleh lelaki yang menjadi benih kepada kelahirannya dan tidak berhak menerima harta pesaka lelaki tersebut. Bukanlah bermakna kita ingin menanamkan kebencian kepada keturunan zina. Tetapi begitulah hukum yang termaktub dalam Islam.

Ini juga tidak bermakna orang yang berketurunan mujahid atau ulamak mampu meneraju sesuatu perjuangan. Ini disebabkan iman itu bukan sesuatu yang boleh di warisi dan dipesakai. Sejarah membuktikan, Sultan Muhammad Al Fateh yang menjadi wira empayar Osmaniah dihina oleh keturunannya sendiri yang juga berdarah Osmaniah. Sewaktu Itali menjajah Libya, keturunan Turki Osmaniah melarikan diri dari medan jihad dan berlindung dan hidup mewah dibawah panji Wahabi di Saudi meninggalkan Gerakan Sanussi pimpinan Omar Mokhtar bersendirian menghadapi tentangan tentera kafir musyrik Italy. Mereka melarikan diri ke tempat yang mampu menjamin kehidupan dan kemewahan peribadi mereka. Ada juga keturunan yang berhati dayus ini melarikan diri ke bumi Melayu.

Sejauhmana kelayakan sesuatu keturunan untuk meneraju perjuangan ialah sejauh mana berkesan dan sistematiknya proses ta’alim dan tarbiyah yang dilakukan ke atasnya oleh penjaga atau murabbinya. Sejarah juga membuktikan bahawa keturunan yang baik andainya dididik dengan ta’lim dan tarbiyah oleh para murabbi dengan betul mampu melahirkan manusia yang hidup untuk syahid sebagaimana lahirnya Sultan Muhammad Al Fateh dari benih Sultan Murad. Sebagaimana lahirnya Syeikh Abdul Kadir Jailani dari percantuman benih Abu Saleh Janghidost dan Fatimah binti Abdullah Saumi.
Maka dalam membentuk generasi perjuangan agama, maka pernikahan hendaklah dilakukan dengan mematuhi syariat.

 

2. Memilih Pasangan

Percantuman antara satu benih pokok yang baik dengan satu lagi benih pokok yang baik akan menghasilkan pokok cantuman baka bermutu tinggi. Begitulah juga dalam perjuangan. Percantuman benih dari satu keturunan yang baik dengan satu lagi keturunan yang baik, akan melahirkan zuriat keturunan yang lebih baik.

Rasulullah SAW telah memberi panduan untuk mencari pasangan yang baik kepada lelaki yang baik iaitu dipilih atas dasar kecantikan, harta, keturunan dan agama. Yang diutamakan ialah agamanya.
Nabi Muhammad SAW lahir dari percantuman benih Abdullah bin Abdul Mutallib yang amat mulia akhlaknya serta berwibawa dengan benih Aminah yang mulia dan terpelihara maruahnya. Nabi Ismail AS terhasil dari benih Nabi Ibrahim AS dengan Siti Hajar seorang wanita soleha yang mentaati suaminya dan sanggup berkorban agar ditinggalkan bersama bayinya di bumi gersang Mekah demi tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Abu Salleh Janghidost yang berketurunan Imam Hassan ketika bermusafir, telah termakan sebiji buah yang ditemuinya. Atas rasa bersalah dan ingin minta dihalalkan dari pemilik buah tersebut. Abu Salleh Janghidost sanggup menjadi pekerja kepada Abdullah Saumi yang berketurunan Imam Hussin selama 12 tahun dan mengahwini anak gadis Abdullah Saumi yang buta matanya, pekak telinganya, bisu lidahnya, kudung tangan dan kakinya. Setelah diakad nikah, ternyata anak gadis bernama Fatimah Binti Abdullah Saumi hanyalah buta dari penglihatan maksiat, pekak dari pendengaran maksiat, bisu dari membicarakan maksiat dan kudung tangan dan kaki dalam melakukan maksiat. Maka lahirlah Syeikh Abdul Kadir Jailani yang menjadi Qutubul Auliya.

Sayyidina Umar Al Khattab sewaktu menjadi khalifah menjadikan berjalan malam untuk melihat kondisi rakyatnya. Satu malam dia terdengar dialog antara seorang ibu tua bersama anak gadisnya yang juga bernama Fatimah. Fatimah dinikahkan dengan anak Saidina Omar Al Khattab yang kerana Fatimah melarang ibunya mencampurkan air dalam susu untuk jualan adalah menjadi satu kesalahan walau pun Khalifah Omar tidak melihatnya kerana Allah masih melihat. Dari zuriat anak Saidina Omar dan Fatimah ini maka lahir Omar Bin Abd Aziz, cicit kepada Saidina Omar Al Khattab.

 

3. Memasang Niat

Memasang niat untuk memperolehi anak yang beriman dan bertaqwa ketika mula mendirikan rumahtangga dan disusul pada setiap kali berjimak. Lakukan hubungan suami dan isteri dalam keadaan hati yang sentiasa bertaqarrub kepada Allah SWT, bukan semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu. Jaga adab-adab berjimak terutama membaca doa jimak { Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan hindarkanlah syaitan dalam apa yang engkau rezekikan kepada kami } agar terhindar dari campur tangan syaitan.

Niat untuk beroleh zuriat yang beriman dan bertaqwa boleh dikuatkan dengan doa dan nazar. Niat yang disusuli dengan doa dan nazar memberi pengaruh yang besar dan kuat dalam pembentukan jiwa dan roh zuriat yang bakal dilahirkan. Firman Allah SWT :

Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertaqwa. ( Al Furqaan : 74 )

Nabi Zakaria AS berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang mampu menyambung perjuangannya. Allah nukilkan doa Nabi Zakaria AS dalam Al Quran :
Ya Tuhan ku, berilah aku di sisi ENGKAU seorang anak yang baik. Sesungguhnya ENGKAU Maha Mendengar ( Al Imran : 38 )

( Ia Berkata ) “Ya Tuhan ku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepala ku dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, Ya Tuhan ku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mewaliku ( orang yang menyambung perjuangan) sepeninggalanku, sedangkan isteri ku seorang yang mandul, amaka nugerahilah aku disisi Mu seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dab jadikanlah ia Ya Tuhanku seorang yang diredhai. ( Maryam : 4 – 6 )

Dan bernazarlah sebagaimana isteri Imran. Nazar ialah menunaikan janji apa bila niat terkabul. Setelah nazarnya terkabul, maka isteri Imran menyerahkan anaknya Maryam untuk berkhidmat untuk semata-mata beribadah kepada Allah SWT.

Ingatlah ketika isteri Imran berkata ” Ya Tuhanku sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat 9 di Baitul Maqdis), kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ( Ali imran : 35 )

Inilah peranan Niat, doa dan nazar dalam membentuk jiwa perjuangan zuriat yang bakal di lahirkan. Agar nantinya kelahiran zuriat itu memberi manfaat kepada sekelian alam. Sabda Rasulullah SAW :
Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Niat, doa dan nazar hendaklah dikekalkan setelah kelahiran zuriat, sebagaimana berdoanya Nabi Ibrahim AS

Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata ” Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan cucu ku daripada menyembah berhala. (Ibrahim : 35 )
Ya Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. ( Ibrahim : 40)

Ternyata niat sambil disusuli doa dan nazar merupakan amalan orang yang muqarrabin. Jika golongan muqarrabin pun berniat, berdoa dan bernazar dalam melahirkan zuriat yang beriman dan bertaqwa, lebih-lebih lagilah orang awam yang banyak dosa seperti kita, jika inginkan zuriat yang beriman dan bertaqwa memang sewajarnya kita melakukan niat, berdoa dan bernazar dengan sungguh-sungguh.

 

4. Memberi Ta’lim dan tarbiyah

Dalam menyambut kelahiran zuriat, sambil mengekalkan niat, doa dan nazar, usaha lahiriah perlu disusul.

a. Tarbiah di dalam kandungan

Pengalaman dan perasaan ibu perlu dikawal sewaktu hamil, kerana ianya memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap, akal dan jiwa si anak. Ketenangan jiwa ibu yang sedang mengandung membantu pembentukan ketenangan jiwa pada si anak. Bagaimana ingin mendapat ketenangan ? Ialah dengan mengingati Allah SWT. Ingatilah Allah melalui zikir, pembacaan Al Quran dan ibadah-ibadah sunat yang lain.

Kepatuhan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh Nabi Ibrahim AS lahir dari ketabahan Siti Hajar yang sanggup ditinggalkan di bumi gersang Mekah kerana perintah Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan si bapa. Aktivitinya juga mempengaruhi pembentukan jiwa anak di dalam kandungan. Watak yang ditonjolkan oleh Muhammad Al Fateh adalah disebabkan pengaruh roh jihad dan roh sufi ayahnya Sultan Murad. Maka lahirlah Sultan Muhammad Al Fateh yang sewaktu berusia 13 tahun sudah merancang untuk menumbangkan Kota Konstantinopel.

Malangnya, kini tidak ramai keturunan Turki Osmaniah yang mewarisi roh jihad dan sufi Muhammad Al Fateh. Ada yang sehingga sanggup mendayuskan diri menipu isteri tua untuk beristeri muda. Saya yakin mereka ini tidak mempunyai hubungan keturunan dengan Muhammad Al Fateh. Sebaliknya mereka ini mungkin keturunan hamba sahaya atau penjenayah di era Turki Osmaniah, maka tidak hairanlah mereka ini bersifat bacul dan dayus.

Proses tarbiah di dalam kandungan akan berterusan sehinggalah tempoh kelahiran ke dunia nyata. Susah atau senang dalam kelahiran menggambarkan peribadi yang dilahirkan. Aminah, ibunda kepada junjungan besar SAW tidak pernah merasa kepayahan sewaktu melahirkan manusia termulia ini. Begitu juga Maryam yang melahirkan Isa AS tidak merasa kesukaran dan kepayahan sewaktu melahirkan. Begitu juga Khadijah yang melahirkan fatimah Az Zahra.

b. Tarbiah di luar kandungan

Sabda Rasulullah SAW :

Awal-awal agama mengenal Allah

Tiap-tiap anak itu dilahirkan mengikut fitrah ( suci bersih ), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi ( Bukhari dan Muslim )

Tunaikanlah hak ke atas bayi yang dilahirkan. Berikan nama yang baik. Di aqiqahkan dan dididik dengan ayat-ayat Al Quran, selawat serta zikir terutama sewaktu didodoikan. Ingatlah kata-kata bidalan bahawa tangan yang menghayun buaian itu yang bakal menggemparkan dunia. Andainya dodoian yang menjurus kepada ketaqwaan, maka anak itu nanti bakal menggemparkan dunia sebagai mujahid sejati. Andainya dodoian yang menjurus kepada kemungkaran, maka dunia akan digemparkan dengan maksiat dan fasad yang dilakukan oleh anak itu.

Kawal alam persekitaran dan rakan-rakan anak-anak untuk membentuk fizikal, akal dan jiwa anak-anak agar mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Wujudkan alam sekiling mereka dengan suasana majlis ilmu, muzakarah dan zikrullah. Susun program agar sentiasa berlangsung majlis zikir, ta’alim dan muzakarah di rumah agar fizikal, akal dan jiwa anak ini sebati dengan majlis di taman syurga. Walaupun anak-anak kurang memahami, tetapi suasana yang wujud dapat mencorak pemikiran dan jiwa anak-anak. Anak-anak yang tidak terdedah dan ditarbiyah dengan suasana majlis ilmu, apabila dewasa akan biadap dan kurang ajar sewaktu majlis ilmu berlangsung.

Hidangkan anak-anak dengan kisah-kisah orang dizaman salafussoleh. Tonjolkan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai wira yang sebenar dan bukannya watak-watak kartun ciptaan barat dan kuffar seperti ditayangkan di media massa. Bentuk akal dan jiwanya dengan bercerita. Kerana cerita-cerita tersebut akan meresap masuk ke dalam akal dan jiwa justeru menjadi azam dan cita-cita si anak untuk menjadi seperti tokoh dan watak utama dalam cerita tersebut.

 

5. Menjaga Makanan

Jagalah pemakanan anak-anak dari perkara yang haram, makruh mahupun syubahah. Makanan yang haram menjadi hijab kepada hati. Makanan yang makruh tempat kebencian Allah. Yang syubahah pula menghampiri perkara yang haram. Ketiga-tiganya menjadi penghalang bagi hati untuk bertaqarrub dan bermusyahadah kepada Allah SWT. Bila hati terhijab, tidak ada tempat untuk iman bertapak.

Ibu Imam Syafie, pernah menjolok tekak anaknya kerana meminum susu yang tidak diketahui dari mana sumbernya. Omar Al Khattab sewaktu menjadi khalifah pernah merampas buah milik Baitul Mal dari tangan anaknya yang kelaparan kerana merasakan sebagai seorang khalifah HARAM bagi dirinya dan keluarganya mengambil hak rakyat. Abu Bakar memuntahkan semula susu yang diminum kerana susu itu dibeli menggunakan wang zakat.

 

6. Menyerahkan Anak kepada Murabbi

Murabbi adalah guru yang mentarbiyah kehidupan duniawi dan yang paling penting mentarbiyah kehidupan ukhrawi. Guru hanya boleh memberi ilmu. Ilmu yang diberi belum tentu mampu diamalkan oleh si murid. Di sini letaknya peranan murabbi. Untuk membimbing dan mentarbiyah murid untuk beramal dengan ilmu yang diperolehi, sama ada dari guru atau pun dari murabbi itu sendiri.

Bai’ah antara murid dengan murabbi adalah langkah pertama, sebagaimana ditunjukkan oleh Jibrail dan Rasulullah SAW kepada Saidina Omar Al Khattab dan sahabat yang lain sewaktu Jibrail menyampaikan ilmu tentang Iman, Islam dan Ihsan. Dalam pembai’ahan tangan berjabat mesra, lutut bertemu lutut dan antara hati mekar rasa kasih sayang antara murid dan murabbinya. Ianya adalah suatu simbolik pautan hati antara murabbi dan muridnya, yang memeterai suatu perjanjian bahawa murabbi akan berusaha sepenuh jiwa untuk mentarbiyah muridnya dan muridnya akan sepenuh jiwa menerima ilmu dan beramal dengan murabbinya demi menegakkan hukum-hakam Allah di muka bumi. Murabbi menyalurkan ilmu dan membimbing untuk beramal dengan ikhlas. Murid menerima ilmu dan rela dibimbing dengan ikhlas. Maka terzahirlah manusia-manusia yang mengabdikan diri kepada Allah dan berlumba menjadi khalifah Allah untuk mentadbir alam ini.

Demi menjaga rantaian yang berkat, maka murid akan menyebut nama murabbinya sewaktu menyampaikan ilmu kepada keluarga, sahabat atau masyarakatnya. Sebagaimana murabbi akan menyebut nama gurunya kepada si murid sewaktu berta’alim dan mentarbiyah. Guru murabbi pula akan menyebut nama gurunya kepada murabbi sewaktu murabbi menjadi muridnya. Dan begitulah rantaian rawi ilmu guru-guru atau murabbi sehinggalah ianya bersambung kepada tabiin kemudian bersambung kepada sahabat dan seterusnya kepada Rasulullah SAW. Dan Rasulullah SAW dididik sendiri oleh Allah SWT. Begitulah rantaian ilmu yang berkat yang memudahkan murid untuk beramal, bagaikan rantaian perawi hadis yang meriwayatkan hadis yang akhirnya bersambung kepada Rasulullah SAW.

Maka tidak hairanlah, Imam Asy Syafie sering menyebut nama gurunya, Imam Maliki dalam tarbiyah kepada muridnya. Muhammad Al Fateh menyebut nama gurunya, Shiekh Shamsudin Wali kepada tenteranya.

Semoga Allah mengurniakan kita anak-anak yang soleh lagi menyejukkan hati Rasulullah saw dengan perjuangan agama mereka untuk meninggikan kalimah Allah di atas mukabumi ini.
Amiin.

Semoga bermanfaat.

Advertisements

Posted on February 21, 2015, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: